Anda Pelawat Ke

They call me 'botak'

Kuantan, Pahang Darul Makmur, Malaysia
Seorang pendiam dan pemalu. Tidak berambut (BOTAK) dan nampak macam garang nampak serious (orang kata) kuat tidur, kuat makan malahan kuat berdengkur. Mempunyai mata yang agak tajam dan nakal. Tidak handsome dan bersaiz agak gempal (XXL) Nampak je macam ni tapi suka bersukan. Suka relax santai. Tidak begitu suka cakap banyak. Tapi maaflah, saya tidak mempunyai wang ringgit berjuta dan harta melimpah ruah.

Monday, May 31, 2010

Sahabatku pergi tak kembali

Tak semena-mena aku mendapat panggilan dari sahabatku menyatakan bahawa Beliau telah kembali ke Rahmatullah. Allahyarham Zamri Md. Nor telah putus hubungan dengan dunia pada tanggal 31.5.2010. Al - Fatihah..
Beliau seorang yang sangat cukup baik ketika sama-sama menuntut di LSA dan USA di Mahmood School 1988-1989. Walaupun cuma ada dua tahun untuk kami saling kenal mengenali dan bertukar-tukar fikiran. Seorang aktif terutamanya dalam bolasepak. Beliau merupakan seorang pengawas yang sangat dihormati rakan-rakan, taulan dan guru-guru.
Baru terdetik nak kumpul dan cari semula 'gang sekolah' melalui facebook, handphone, friendster dan sebagainya. Itulah Allah lebih menyayangi beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau dan agar ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Amin..

Sunday, May 30, 2010

Secebis memori di Bentong 2005-2010

Sedar tak sedar bermula 1 Jun 2005 sehingga 2 Mei 2010 hampir 5 tahun aku bertugas di daerah Bentong. Seingat aku 2 minggu sebelum aku menduduki rumah bernombor 249, Taman Bukit Chamang, Bentong aku sendiri sempat baik pulih sendiri rumah, mencuci sedikit demi sedikit, tampal yang mana perlu dan sebagainya. Kekadang tidur atas lantai seorang diri, maklumlah bujang diperantauan. Tetapi itu tidak menjadi kesah. Orang lelaki nih bila penat, kat mana pun boleh tidur. Berkat usaha kuat selama seminggu, aku berjaya membersihkan rumahku sebelum mendudukinya secara rasmi. Setiap hari mengemas, moop, mengilat dan sebagainya. Tetapi orang sekarang, tau-tau sahaja nak semua rumah ok. Usahalah sedikit beb!
Kita lupakan tentang rumah. Bukankah rumah cantik-cantik pun suatu masa pindah juga. Terkejut apabila dikatakan ada kolam ikan terbiar yang tidak diusahakan berhampiran dengan rumahku. Aku ni bukannya minat sangat buat-buat kolam nih. Tetapi tak tahu apa nak buat akhirnya aku membersihkan semak samun dan cuba membaik pulih kolam-kolam tersebut. Akhirnya tidak sia-sia usahaku, ianya berjaya dibaik pulih. Cuma kekurangan air sahaja. Pelbagai usaha telah ku buat untuk menjayakannya. Setelah berpakat-pakat dengan kawan-kawan, dengan sedikit modal kami berjaya mengambil air bukit dengan membuat empangan dan saluran pvc merentasi bukit. Alhamdulillah..air ada, anak-anak ikan pun dilepaskan. Ikan jelawat, ikan pating, ikan baung, ikan bawal piranha (picu) dan ikan telapia dilepaskan. Hasilnya boleh dilihat sehingga sekarang...dahulu belukar sekarang dan terang... Tinggal diBentong boleh dikatakan seperti berada dikaki gunung.(sejuk) Sempat juga kami menjayakan aktiviti sepetang bersama PELAKAS dan warga perumahan ditepian kolam. Pernah juga mandi air bukit kerana ketiadaan air paip. Pernah suatu masa mengejar pencuri kolam yang mana ikan masih terlekat pada mata pancing keliling kampung.
Sepanjang aku berkhidmat di Bentong pelbagai karenah dan pengalaman pahit manis yang aku terima. Macam-macam ada. Sekalipun kita berbuat untuk kebaikan dan kemajuan bersama tetap ada yang tidak suka kepada kita. Tetapi kita tidak boleh menghalang sesiapapun di muka bumi ini untuk membenci diri kita. Yelah..hampir lebih dari 10 perubahan yang pernah dilakukan demi Jabatan tercinta. Kalau tidak silap aku, pengecatan semula Quarters, tar semula di perumahan dan pejabat, pembaikan longkang, pengantian pagar baru, mengadakan taman permainan kanak-kanak, penyediaan wakaf, mendirikan dewan terbuka, naik taraf rumah (lebih luas), pengantian tiles (menggantikan parkir), menaiktaraf dewan terbuka (tertutup), menghidupkan kelab rekreasi kolam, mengadakan sudut cofee corner, naik taraf landskap (pancuran kolam ikan pejabat), anjung seri pejabat dan naik taraf pejabat. Bukan tujuan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar menjadi pedoman bagi menangkis tohmahan dan "kata-kata nakal" pihak yang tidak pernah puas hati atau sakit sangat hati dengan aku ni. Apa yang diaorang tak puasa hati atau dengki sangat pun aku tak tau kenapa. Dalam dunia yang pancaroba ini untuk berbuat kebaikan atau kebajikan, kita tidak pernah lari dari tindakan segelintir 'perorangan' yang sentiasa tak puas hati. Ada sahaja aduan, hasutan, PHD dan cucukan. Teruskan janji anda terlibat bahagia.
Selama aku merempat di Bentong ini maka disinilah aku membina empayar rekreasi dan ping pong dengan cara tersendiri. Bercampur bergaul dengan masyarakat tidak akan menggugat kesetiaan sebagai kakitangan awam. Malahan ianya salah satu proses networking hatta tanpa mengira pangkat dan darjah. Oleh itu aku sempat mengenali kawan-kawan di Kg Kuala Repas dan Chamang. Secara tidak langsung pernah melibatkan diri dengan sukan badminton dan sepak takraw bersama-sama mereka. Sempat juga mengadakan beberapa kali kenduri kampung. Berkesempatan untuk mengikuti konvoi bermotosikal (cupchai) ke Cameroon Highlands. (Sg. Koyan-Pos Betau-Bertam Valley-Gn Berinchang).
Antara lain aku juga sempat mengadakan ekpedisi mendaki gunung Rajah beberapa kali bersama Persatuan Penggerak Sukan Dan Rekreasi Bentong sempena hari Kemerdekaan. Sempat mengadakan beberapa aktiviti santai dan rekreasi bersama BEWARIS di Air Terjun Chamang dan mengadakan latihan dan klinik serta pemilihan ke Kejohanan Kayak Kebangsaan di Air terjun Chamang.
Juga aku terlibat dengan persatuan GLOKAL Kg Baru bagi menakluki Gunung Rajah untuk entah ke berapa kalinya. Sempat menerokai Lata Hammer dan Lata Naning yang jauh ke ceruk rimba. Itulah tempat-tempat menarik yang pernah ku temui. Selain aku aku juga berpeluang mendaki dan melawan diri sendiri dengan mendaki Bukit Raka yang terkenal dengan batuan pacak @ tegak 90 darjah yang dianjurkan oleg Pascorp Paper Sdn Bhd. Anda dapat melihat daerah Bentong dari puncak. Yang pasti sebagai orang Pahang, aku telah berpeluang menyertai Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sg Pahang, dari Kuala Lipis ke bandar DiRaja Pekan. Menghilir sungai Pahang melalui beberapa daerah utama yang lengkap dengan kenduri kampung, joget lambak, persembahan kesenian dan pamiran. Antara lain sempat juga menghadiri program setempat dan aktiviti belia yang diadakan di Putra Jaya ataupun di Bera dan juga tempat-tempat lain.
Pernah juga menjadi VIP bagi menggantikan Boss aku iaitu Pn Siti Khalijah, Tn. Hadzri Mohd Sabri dan Pn Asiah bte Taharip. Kerap kali terlibat bagi mewakili mereka dalam Majlis Rasmi mahupun tak rasmi. Dalam pada itu aku pernah juga menjadi bodyguard kepada Y.B Aziz Mat Kiram calon BN di Batu Talam bersama-sama orang kuat beliau. Ketika di Bentong juga aku pernah dimarahi oleh orang kenamaan di khalayak ramai yang mana disinilah dikenali ramai oleh VIP Jabatan. Peristiwa itu berlangsung ketika berlangsung Mesyuarat Pengarah Kastam se Malaysia -Taman Negara. Bagi sesetengah orang, masih tidak senang hati dengan 'keglamouran' ku itu rupanya.
Disinilah juga aku ditikam dari belakang oleh 'musuh dalam selimut', disinilah aku diperlecehkan oleh golongan 'D' dan 'DKK'. Kepada yang faham, fahamlah jikalau tidak..ha ha ha "still remember King of Three Mountain"
Yang pasti aku akan rindukan Genting Highlands, Cameroon Highlands, Janda Baik, Bukit Fraser dan Bukit Tinggi. Terutama apabila pemandangan indah dan berkabus dari atas ke bawah. Apabila sampai sahaja dibandar Bentong ada sudah terlihat sayup-sayup Genting Highlands, Gunung Rajah di Banjaran Titiwangsa dan Bukit Raka mengelilingi kita.
Yang pasti ada juga yang menarik di Bentong untuk dikongsi bersama, kehebatan nasi ayam Pak Hamid, Kedai Kopi Kao Pow (ais krim terhebat diPahang), Restoran Midnight, Dapor Kita, Restoran Ummie, Restoran Dara Tomyam, Mee Kari Mak Lang (dataran Teras) dan yang pasti kedai Mamak TMK (tempat mengeteh - Salleh, Yusop, Ishak, Bat, Mokhtar, Zam, Din dll)
Aku tetap merindui Kelab Belia Bentong, dimana disinilah bakat permainan ping pong kembali mendadak. Jam 5-7 carilah aku disini, tanpa jemu demi menjaga kesihatan diri. Nama-nama seperti Chong, June, Ah Hie, Mr Auw, Abang Din, Mr Chop, Zainal, Osman, Abang Pa, Mat sentiasa dalam ingatan.
Tidak lupa juga kepada beberapa nama besar yang glamour dalam bidang masing-masing iaitu: Sdra Faizam, Bobby, Hakim, Man Cece (BSN) Kocek, Kecik, Jimi, CT, Lex, Mamat, Nipon, Ujang, Mie, Madi barber, Abg Din sekeluarga, Ippin, Kak Yah dan ramai lagi. Maaf kepada yang tidak tertulis, ramai sangat.

datang dan pergi

Semakin lama semakin aku rasa terpinggir dari teman-teman yang pernah suatu ketika sama-sama susah senang bersama. Rupa-rupanya apabila dikhabarkan kita akan berpindah ke tempat lain, perasaan respect atau nilai seorang sahabat telah berkurangan. Manakan tidaknya. Aku kini tidak berguna lagi, bagi mereka kot. Dahulu, jika kita masih ditempat yang ada sekarang, sekejap-sekejap jom pi minum, jom kita mengeteh dulu dan sebagainya. Sekarang usahkan nak mengajak kita, kalau boleh depa malas nak berjumpa atau tersua aku ni. Bukan apa aku ni bukan ada kepentingan apapun bagi depa. Maybe kalau aku ditempat mereka pun akan bertindak perkara yang sama. Tetapi itulah kenyataan ada manusia berkawan dengan kita ni, rupa-rupanya atas kepentingan sesuatu. Adakah kerana aku bukan lagi penilai prestasi kalian, adakah aku hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi di bumi Bentong ini atau kalian memang suka aku pergi sebenarnya? Tak apalah perkara dah terjadi. Mungkin kalian akan berasa gembira. Tatkala selepas pemergianku mungkin kalian baru akan terasa akan kehilanganku. Itu perkara biasa dalam dunia ini, adatlah yang datang dan pergi tetap berlaku. Apa-apapun aku cuma ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas penerimaan baik kalian terhadap diriku untuk sekian lamanya. Harap segala gurauan dan jenaka serta humor yang terkeluar dari mulut ini menjadi hiburan semata-mata tiada kena mengena ke atas yang masih hidup atau mati. Perkara-perkara kecil aku abaikan dan menganggap ianya tidak pernah berlaku. Taat dan patuhlah kepada pengganti diriku. Jangan pertikaikan umur, kelayakan dan pangkat beliau. Yakinlah beliau akan boleh bekerjasama dengan kalian. Sokonglah beliau dengan sepenuh hati. Janganlah kalian menikam beliau dari belakang ataupun menjatuhkan beliau. Setiap pemimpin itu adalah kehebatan dan kelebihan masing-masing. Ianya tidak sama. namun pada masa yang sama setiap orang itu stilll ada kekurangan masing-masing. Jangan sesekali membanding-bandingkan antara aku dan penggantiku. Ingatlah pemimpin datang dan pergi, tetapi sahabat tetap sahabat, Walau apapun terjadi.

melepasi sasaran

Tiada apa yang indah ingin diperkatakan dalam arena Ping pong. Pencapaian sehingga suku akhir setakat ini adalah yang terbaik. Maklumlah Kejohanan Ping Pong Melayu Terbuka anjuran Penjara 2010 adalah bersatus 5 bintang. Pemain-pemain terdiri dari state player dan bekas pemain kebangsaan, kelab, MAKSWIP, MASUM, SUKMA, Super siries dan sebagainya.
Semangat juang dan jitu terlalu kuat dalam diriku membuatkan setiap gerakan, pukulan, footwork, smasing, push, block dan sebagainya semakin pantas dah yakin. Tewas kepada pasukan yang hebat lebih baik daripada menang kepada pasukan yang lemah. Walaupunbagaimanapun sasaran telah tercapai. Suku akhir..ingat pusingan pertama sudah 'bungkus' rupa-rupanya tidak. Tahniah kepada rakan 'sparing partner' Osman, Zainal, abg Pa. Perlawanan menentang Along (abang Syakirin) & Harris suatu perlawananan yang akan dikenang sampai bila-bila. Di sini aku ingin mengatakan pada diri sendiri bahawa senjata block dan serve pinple (gaya chop heavy) adalah menjadi satu kelebihan buat diriku. Biarpun lawan memilikki spin power, tetapi aku boleh block push kemana mana sahaja arah yang aku sukan. Mungkin kita tak sedar akan peningkatan permainan kita, tetapi rakan-rakan tahu akan kebolehan diri kita. Mungkin diri ini ditakdirkan lewat untuk bergelar juara. Tak mengapa tahun-tahun mendatang masih ada. Jika tidak menjadi juara atau pemenang, aku tetap berbangga dengan diriku sendiri kerana berani mencuba... chuo....!

Tuesday, May 25, 2010

kata hati dan hati berkata

Terlalu sukar rupanya untuk menjaga hati. Pantang tersilap kata, hati akan terguris. Mungkin aku terlalu mengikut kata hati menyebabkan ada hati yang terluka. Mungkin aku tidak berhati-hati dalam melahirkan kata-kata. Walaupun kekadang kita berkata tanpa niat untuk menyakitkan hati siapa-siapa, namun kita bukanlah hanyalah manusia biasa yang sering alpa dan lalai ketika berkata-kata. Mulai dan saat ini aku tidak akan berkata tentang apa yang tidak patut dikata. Mulai saat ini aku tidak akan berbicara tentang hati. Jikalau adapun perlu ku berhati-hati dalam setiap tutur kata.
Kepada yang terasa atau tidak boleh menerima segala kata-kata ku, ku pohon ampun dari hujung kaki sampai hujung rambut. Jika itu menjadi satu kesalahan besar, maka tidaklah dapat aku berbuat apa-apa kecuali dengan rendah hati dan diri memohon ampun atas keterlanjuran kata-kata baik secara tidak sengaja. Tiada niat untuk berkatas sedemikian apatah lagi untuk melukakan hati.

Thursday, May 20, 2010

Khas untuk Panglima Berantai

Tahniah kepada Panglima Berantai berjaya menerajui Inderapura dengan cemerlang dan jaya sehingga tersohor dipelusok Kepulauan. Mungkin ini atas usaha Panglima seorang. Mungkin rakyat marhaim tidak banyak membantu. Hairan bin ajaib juga kebal sungguh Panglima, hebat sungguh Panglima dapat memerintah Inderapura dengan makmurnya. Makmur? tidak gunakan dikatakan makmur tetapi rakyat menderita, jika tidak percaya cuba buat ujian kepada rakyaat jelata. Bukan raakyat tidak merasa bangga terhadap kejayaan Inderapura tetapi jangan sampai rakyat memberontak, jangan sampai rakyat mendoakan ketidakpuasan hati mereka, jangan sampai mereka membuakkan kemarahan mereka. Janganlah terlampau taksub untuk mengejar kemashuran, pandanglah lihatlah kebawah. Dunia semata-mata. Apalah guna kemashuran tetapi jiwa rakyat menderita.
Jangan biarkan dirimu asyik dibuai sangjungan, dibelai pujian, dahaga ketamakan. Bersederhanalah. Kita masih ada pegangan agama dan Al-hadis. Baliklah kepangkal jalan, masih belum terlambat, masih ada yang sayang.
Kepada pendekar wa ampu sana wa ampu sini, hentikanlah permainan silat kotormu kelak akan membinasakan dirimu, keluargamu dan keturunanmu. Ingatlah pelanduk sentiasa lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah lupakan pelandok. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua ia jatuh. Sekebal-kebal Raja Ali Haji tumpas jua dek peluru perak sahabat sendiri. Segagah-gagah Kesultanan Melaka akhirnya tewas juga dek kerana Tun Mendalier dan juga fitnah serta adu domba. Hebat sungguh Inderapura ketika ini, tampak tenang tetapi bergelora.
Jagailah dan perintah seadil-adilnya ke semua tanah jajahan panglima. Tidakkah Panglima suatu masa pernah berguru dan menuntut di tanah jajahan Panglima. Tidakkah sang pendekar pun pernah berguru disana. Mungkin Panglima dan pendekar terlupa disana tempat segala buangan jin dan syaitan serta sumpahan raka kepada penghuninya? Lupakah dengan sumpah dan perjanjian diantara bukit dan laut? Kenapa Panglima berubah, adakah habis madu sepah dibuang, adakah kerana seekor nyamuk habis kelambu dibakar, adakah panglima telah buang tabiat atas tanda-tanda tidak mahu hidup didunia ini lagi?
Sang Rajuna Tapa pernah berpesan sebelum ianya parah melanda lebih baik dirawat luka, kelak apabila busung melanda binasa segalanya. Jangan biarkan susu sebelanga rosak dek setitik nila. Jangan biarkan retak menunggu belah. Jangan kerana hanya seorang pendekar, panglima berhabis-habisan memberikan hak kekebalan dari sebarang serangan. Nescaya pendekar itulah yang akan membinasakan Panglima. Jikapun sudah terlambat jangan terlalu angkuh dengan setiap kejayaan dan kemenangan. Semua itu tidak akan kekal abadi. Hanya Allah sahaja yang Kekal.. Wallahualam...

Selamat tinggal kenangan - Bentong

Memang sedih untuk meninggalkan bumi Bentong, apatah lagi belum puas untuk menabur bakti dan jasa kepada RC Pahang. Namun apalah daya, demi kemajuan kerjaya akan kuteruskan. Biarpun kenangan dan jasa di Bentong hanya sedikit untuk diingati oleh ramai. Tetapi itu tak penting. Sedar tak sedar aku mulai bertugas di Bentong pada tanggal 1 Jun 2005. Tetapi tanggal 10 Mei 2010 aku terpaksa belayar ke Negeri Terengganu Darul Iman.
Berhijrah itu mungkin lebih baik buat diriku. Mungkin aku boleh melakukan lebih baik dari apa yang lakukan sekarang. Bak kata orang "Peluang dan ruang hanya datang sekali sahaja". Ramai yang menasihati diriku untuk pergi ke tempat baru. Jangan berfikir dan menoleh kebelakang lagi. Jangan difikirkan perkara negetif, fikirkan yang positif. Biarkan mereka yang cuba merobek hati, mematahkan semangatku, menzalimiku dan sebagai terjun dengan labu-labunya. Lambat laun tembelang mereka akan pecah juga dan pekung di dada mereka akan terbau sendirinya. Bukan setiap perbuatan yang baik akan dibalas mulia tetapi dosakan sengsara.
Pergilah wahai perwiraku,
Berjuanglah untuk dirimu, keluargamu, agamamu dan negeri barumu..
Rezeki ada dimana-mana,
Jangan dikau mengalah kerana rezeki ada didepan mata..
Selamat tinggal kenangan. Selamat tinggal kolam ikanku, selamat tinggal rakan-rakan dan sahabat yang sama-sama bersusah senang, selamat tinggal dewanku, selamat tinggal KBB, Glokal, BEWARIS, Persatuan mengeteh TMK,

Tuesday, May 18, 2010

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali

Teringat pesan orang tua-tua dahulu;

"Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali"

Kekadang bila mengenangkan pepatah tersebut memang hati terasa sedih. Mengapa? Kerana walau kita berbuat baik sekalipun, tetapi jikalau kawan main kawan betullah cakap pepatah tu. Buat baik perpada-pada. Ingatlah mereka akan sentiasa mengambil kesempatan diatas kebaikan kita. Bagi yang belum pernah terkena kepada batang hidung sendiri maka akan berkata apalah kau ni, kecik punya hal nak ambil hati dan macam-macam anggapan negetif terhadap diri ku. Sepatutnya sebagai kawan kita sentiasa saling percaya mempercayai dan saling bantu membantu, ini tidak, saling hendak bersaing dan jatuh menjatuhkan. Jikalau bersaing untuk kebaikan tak mengapa, teruskan. Ini dengan takbur berkata siapa boleh lawan Aku, apa dia boleh buat dan banyak lagi kata-kata menyakitkan dan provokasi dikhalayak ramai. Perlukah kita berkawan dengan sebegini.
Ini pula kes yang lain tetapi berkait dengan baik berpada-pada. Apa saja perbuatan baik yang pernah kita lakukakan akan menjadi racun dan duri kepada mereka yang pernah kita buat baik. Segala kebaikan kita disalah tafsirkan. Ditafsirkan sebagai bodeklah, banyak duit rasuahlah, ramai kawan-kawan luarlah dan sebagainya. Tak bolehlah macam itu. Segala kehendak kita layan, kita raikan, permintaan dipenuhi. Atas sebab kerana 'seorang' yang dikatakan hebat, kita pulak yang disalah ertikan. Sudahlah begitu dibezantara (double standard) dan diperlecehkan. Bagi yang belum terkena, diulangi buat baik berpada-pada. Beginikan cara seorang pemimpin yang dikatakan hebat, ditabalkan sebagai cemerlang melayan anak buah? Renungkanlah.
Bukan apa aku cuba buat tak tau sahaja. Tetapi sudah heboh satu Malaya dengan perlakuan dan permainan politik mereka ni. Apa-apa pun aku redha dengan ketentuan Ilahi.

Jamuan Perpisahan Aku dan Ammy

Sayu bila berkumandang lagu Pergi (Aizat) dan Salam Terakhir (Sudirman) semasa jamuan perpisahan aku dan juga Ammy. Sebenarnya fikiran aku bukan dalam majlis tersebut, tetapi dah merewang entah kemana-mana. Walaupun majlis tersebut amat ringkas dan sederhana namun ianya tetap memberi kesan yang mendalam dalam kerjaya aku. Rasa-rasanya ini jamuan perpisahan yang pertama diadakan secara khusus. Sebelum ini ditempat lama, aku pergi tanpa sebarang jamuan rasmi. Hanya jamuan dari kenkawan. Aku tidak berkecil hati sekiranya perpisahan aku ini tidak diambil peduli oleh pengurusan negeri. Biasalah adat dunia, kita cuma insan kerdil bak kata pepatah kita ni mentimun, mereka durian. Arch..lupakan pasal mereka.
Kelihatan Pn Asiah memberikan sepatah dua ucapan ringkas lengkap dengan pantun. Dari nada dan intonasi aku dapat merasakan beliau sebak dan sayu atas permergian aku dan Ammy. Jikalau dibiarkan Pn Asiah berucap lama, nescaya akan banjirlah majlis ini dengan air mata. Dalam pada itu Ammy hanya sempat mengucapkan 2 atau 3 baris ayat dari mulut beliau. Dengan tidak semena-mena beliau mengalirkan air mata tanpa henti-henti. Ada dikalangan yang lain turut redup, pilu dan sedikit mengeluarkan air mata. Tetapi aku masih bertahan. Bukan tak sedih bukan tak pilu tapi terpaksa menahan sebak didada.
Aku sempat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pn Asiah dan rakan-rakan seperjuangan. Majlis ini sempat disaksikan oleh ahli-ahli PEWAKAS. Aku juga ingin melahirkan kemaafan andaikat berlaku salah silap, maklumlah aku hanya insan biasa. Mungkin ada yang terasa hati atau tidak suka dengan cara aku bekerja. Aku hanya boleh memohon maaf. Salah silap dari kalian aku maafkan.
Jikalau panjang umur aku akan datang lagi ke Bentong. Biarlah aku pergi dengan bermaruah.

Sunday, May 16, 2010

Terlanjur menulis..

Terlanjur menulis, aku ingin merakam ucapan dan terima kasih kepada semua kawan-kawan yang mengenali diri ini terutamanya di daerah Bentong mahupun daerah sekitar Pahang Barat. Selama pertemuan dan persahabatan ini terjalin, aku memohon ampun dah maaf andaikata pernah melakukan sebarang kesilapan secara seagaja ataupun tidak. Halalkan makan minum. Aku telah lama memaafkan kalian jika ada diantara kalian yang pernah, akan menyakiti diri ini. Yang pasti selama berada di daerah Bentong sejak 1 hb Julai 2005 aku telah mempunyai ramai kenalan termasukalah gang-gang rekreasi, kembara, sukan, paintball, gang kolam, gang kapcai, gang ping pong dan sebagainya.
Sesuatu yang menariknya, di Bentong kita sentiasa saling kenal mengenal antara satu sama lain. Pusing-pusing asyik jumpa muka yang sama. Cuma aku ingin berpesan kepada yang nak berkawan atas sebab-sebab berkepentingan, hentikanlah perbuatan tu... biarlah kita berkawan tanpa sebarang ada udang disebalik batu. Freinds forever. Andaikata kalian terbaca tulisan ini harap-harap berubahlah. Be nature n natural.

Sekadar melepas coretan..

Salam buat teman-teman. Lama sangat rasanya tidak menjengok laman blog. Bukan bermakna sudah terlupa, tetapi atas kesibukan tugas dan lain-lain aktiviti yang tidak membolehkan aku menulis buat seketika.
Mungkin aku hanya ada masa sehingga 10 Jun 2010 untuk menulis diruangan kali ini. Lagipun selepas tarikh tersebut aku akan berangkat ke Kuala Terengganu bagi bertugas dan mencari rezeki ditempat baru. Selamat tinggal Bentong. Memang susah nak cari tempat seperti Bentong. Bentong adalah satu pekan kecil yang penuh kedamaian, tenang, best, centre dan terlalu sibuk. Sekejap je pusing-pusing satu bandar Bentong selesai.
Kekadang masa amat mencemburui kita. Mula-mula aku sampai kat Bentong aku punyai banyak masa bersama kawan-kawan untuk beriadah, berekreasi bersama-sama. Ketika itu aku ada masa untuk GLOKAL, BEWARIS, Pemuda Kuala Repas, Gang Mengeteh TMK dan lain-lain. Tapi kini tiada lagi.
Apa-apa pun jumpa di Terengganu